RINGGIT yang kian mengukuh menunjukkan pelabur luar semakin yakin dengan ekonomi dan kestabilan politik dalam negara, kata penganalisis ekonomi, Profesor Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman dari Putra Business School berkata pergerakan ringgit dipengaruhi oleh faktor dalaman dan luaran.
“Kalau tengok apa berlaku masa ini lebih kepada kedua-dua faktor. Kalau faktor luaran lihat keputusan persekutuan di Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah yang menyebabkan dolar AS merudum sekali gus meningkatkan nilai ringgit. Itu faktor utama.
“Pada masa sama permintaan dari China kembali meningkat berikutan negara itu merupakan rakan dagang utama,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata kestabilan politik turut menyumbang kepada keyakinan pelabur untuk melabur. Beliau berkata ini sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap ringgit.
“Selain itu, eksport setiap bulan juga menyumbang kepada pengukuhan ringgit. Pertumbuhan eksport catat keputusan yang positif,” katanya.
Ringgit naik kepada 4.1275/1310 berbanding dolar AS pada 25 September lalu, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021.
Mata wang tempatan meningkat 0.69 peratus daripada 4.1550/1605 pada 24 September lalu.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Mohd Yusof Kasim yang merupakan bekas profesor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pengukuhan ringgit berikutan faktor keyakinan orang luar kepada ekonomi negara.
Beliau berkata ringgit masa ini menunjukkan prestasi yang terbaik.
“Pengukuhan ringgit akan menyebabkan pertambahan pelaburan berlaku.
“Pengguna dan negara membeli barang import dengan harga yang lebih rendah dan sebaliknya barang eksport kita akan lebih mahal sedikit,” katanya.
Tambah Mohd Yusof pendapatan eksport akan naik selagi pengimport tidak mengurangkan permintaannya.
“Di samping itu, hutang negara dalam wang dolar akan berkurangan dalam nilai ringgit,” katanya.
Ringgit turut mencatatkan prestasi yang kukuh berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6158/6197 daripada 4.6274/6335 pada Isnin, naik berbanding pound kepada 5.5189/5236 daripada 5.5590/5663 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8625/8652 daripada 2.8796/8836.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2121/2150 daripada 3.2244/2289 pada Isnin dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.39/7.40.
Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 273.3/273.6 daripada 273.5/274.0 dan meningkat kepada 12.6158/6353 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand. – WILAYAHKU