Berita

Polis terima 24 laporan penyamaran pegawai NSRC babitkan kerugian hampir RM800,000

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Disember 2023 5:35 PM MYT

POLIS menerima 24 laporan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melibatkan nilai kerugian berjumlah RM729,995.20 bagi tempoh Januari hingga pertengahan bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC mendakwa NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan kononnya ia menghantar pautan haram serta mesej penipuan.

Beliau berkata bagi tujuan siasatan, panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan diberikan sehingga melakukan pindahan wang ke akaun diberikan.

“NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai. Ia berbentuk komunikasi satu hala sahaja. NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

“Justeru, sebarang panggilan mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden berlaku.

“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan lebih tinggi.

“Pada masa sama, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan diterima melalui panggilan daripada individu tidak dikenali. Lakukan semakan dengan agensi berkaitan bagi memastikan kesahihan dakwaan itu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas