Berita

Polis tahan 71 individu sertai parti liar

||
- Diterbit 21 Disember 2020 6:03 AM MYT

SEBANYAK 67 warga Indonesia dan empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu parti liar di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata suspek terdiri daripada 45 lelaki dan 26 wanita berusia 16 hingga 30 tahun itu ditahan kira-kira 3 pagi ketika sedang berhibur di unit kediaman terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka adalah pekerja di sebuah kilang elektronik di Lembah Klang. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap mereka mendapati 23 individu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja dan ketamin.

“Kesemua tangkapan akan dimohon reman hari ini di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan parti liar di sekitar daerah Dang Wangi dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, di JOHOR, penjawat awam dan pelajar kolej swasta antara 16 individu ditahan dipercayai mengadakan parti di dalam sebuah bilik hotel di Batu Pahat, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata dalam serbuan pada 3.15 pagi itu, 10 lelaki dan enam wanita berusia antara 17 hingga 34 tahun yang kesemuanya warga tempatan telah ditahan.

Polis turut merampas beberapa biji pil dipercayai dadah jenis ekstasi dan eramin 5 serta satu paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin.

Ismail berkata hasil pemeriksaan ujian saringan awal mendapati 10 daripada suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, seramai 15 orang telah dikompaun RM1,000  kerana didapati melanggar Peraturan 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas