Berita

Polis siasat pihak cuba ‘intai’ keberadaan kanak-kanak dikaitkan GISBH

Foto: BERNAMA
- Diterbit 23 Oktober 2024 4:24 PM MYT

POLIS akan menjalankan siasatan berhubung pendedahan ada pihak cuba mendapatkan keberadaan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings(GISBH), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan kerana terdapat beberapa rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak berkenaan.

“Nanti kita siasat, pasal ada rumah perlindungan di Negeri Sembilan, Selangor,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perhimpunan Bulanan KDN kali ini disempurnakan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Awang Alik Jeman.

Pada 16 Oktober lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan terdapat pihak cuba ‘mengintai’ bagi mendapatkan keberadaan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH.

Tanpa memperincikan pendedahan itu, beliau menegaskan, semua kanak-kanak terbabit dalam jagaan yang selamat di rumah perlindungan dengan kawalan keselamatan yang tinggi.

Setakat ini, seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 11 September lalu, polis dan pelbagai agensi melancarkan Op Global serta menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas