POLIS masih menjalankan siasatan berhubung kes perbuatan khianat ke atas sebuah kereta yang berlaku di tempat letak kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah di Pudu, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, pihaknya mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di media sosial TikTok.
“Video tersebut memaparkan kejadian perbuatan khianat ke atas sebuah kereta di parkir pusat beli-belah itu.
“Hasil semakan mendapati satu laporan polis telah diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dari mangsa pada 30 Ogos lepas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Ashari, menurut mangsa, dia telah meninggalkan keretanya dalam keadaan yang berkunci.
“Walau bagaimanapun, apabila mangsa ingin pulang, dia mendapati keretanya telah mengalami kerosakan di beberapa bahagian.
“Antaranya ialah kerosakan di cermin hadapan, bahagian kiri dan kanan kereta yang bercalar serta kemek termasuk cermin sisi rosak,” katanya.
Sehubungan dengan itu, jelasnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kes tersebut masih lagi di dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.
Katanya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – WILAYAHKU – HAZEEQ