Berita

Polis siasat penglibatan rakyat Malaysia dalam sindiket pelaburan Nicshare, CommonApps

- Diterbit 20 Disember 2024 4:00 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat seorang rakyat Malaysia yang dikaitkan sebagai ketua sindiket penipuan pelaburan dikenali Nicshare dan CommonApps.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini susulan penahanan individu tersebut oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini.

Menurut beliau, sebanyak 24 laporan polis diterima berkaitan pelaburan Nicshare melibatkan nilai kerugian RM8.21 juta.

“Sebanyak dua laporan lagi diterima melibatkan skim pelaburan CommonApps dengan kerugian RM340,079.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Razarudin memberitahu, kedua-dua skim pelaburan itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Katanya, beberapa suspek serta organisasi telah berjaya dituduh.

“Siasatan terhadap kedua-dua skim pelaburan yang dimaksudkan serta perkaitan antara rakyat Malaysia dengan skim penipuan pelaburan Nicshare dan CommonApps sedang giat dijalankan,” jelasnya.

Untuk itu tambahnya, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dan tidak terlibat dengan sebarang sindiket penipuan pelaburan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas