Berita

Polis serbu unit kondominium dijadikan pusat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 28 April -- Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal pada sidang media berhubung kejayaan pihak polis menumpaskan beberapa kes samun, pecah rumah, pelacuran dan perjudian dalam talian di sekitar daerah ini di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, hari ini.
- Diterbit 21 Ogos 2020 9:24 AM MYT

TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah unit kondominium di Ara Damansara, di sini semalam.

Enam monitor komputer, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, satu set ‘router’ dan wang tunai berjumlah RM2,773, adalah antara barang yang dirampas dalam serbuan itu.

Mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 pagi semalam itu adalah rakyat tempatan berumur antara 20 dan 24 tahun, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu beroperasi sejak sebulan lepas melalui iklan dan pertaruhan di Facebook atau WhatsApp, dengan hasil kutipan perjudian antara RM3,000 dan RM5,000 sehari.

“Ketika serbuan, polis mendapati beberapa skrin komputer memaparkan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, 11 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam judi loteri awam tanpa lesen dan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah gerai makan di Taman Medan, di sini.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 46 tahun itu ditahan dalam operasi pada pukul 6 petang semalam dan polis merampas 11 telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, serta wang tunai berjumlah RM368.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan sejak dua bulan lepas dan beroperasi dengan pembelian menggunakan aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas