POLIS Labuan berjaya menumpaskan lima geng bergiat aktif dalam mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) yang dilaporkan sejak Julai 2024 hingga Januari tahun ini membabitkan kerugian sejumlah RM88,290.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendent Mohd Hamizi Halim, berkata kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun dan mempunyai rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Katanya, modus operandi mereka adalah menyasarkan tiang kabel TM yang terletak dilaluan gelap dan berhampira dengan hutan di beberapa kawasan kampung dan bandar.
“Bagi kes pertama, pihak Polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 35 hingga 42 tahun yang disyaki ahli Geng Bel Isham yang bergiat aktif dalam mencuri kabel TM di sekitar kampung Bukit Kalam dan kita juga berjaya melakukan tangkapan tiga suspek yang dipercayai ahli Geng Arshad yang aktif melakukan pencurian di kawasan Rancha-Rancha.
“ Selain itu, Geng Salpau, Geng Fitri serta Geng Eul turut yang disyaki bergiat aktif dalam kegiatan mencuri kabel TM di sekitar Perumahan Batu Arang, Jalan Tanjung Aru, Sungai Keling, Rancha- Rancha dan di kawasan Lubok Temiang berjaya ditumpaskan,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, pada Khamis.
Beliau berkata, sebahagian suspek telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya bakal didakwa Seksyen 18 (e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah, Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresn 1959/63.
Hamizi berkata melalui tangkapan itu polis juga merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut termasuk wayar tembaga dan sebuah kereta Toyota Harrier bernilai RM40,000.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan statistik kes kecurian kabel mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Walaupun kes kecurian kabel pada tahun ini mengalami peningkatan sedikit namun situasi masih dalam terkawal. Kami juga sentiasa melaksanakan pemantauan dan bekerjasama dengan pihak pengusaha/ pembeli besi di pulau ini dalam menangani kes ini,”katanya. – WILAYAHKU