Berita

Polis KL lupus 42,408 barang kes bernilai lebih RM2.8 juta

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 15 Februari 2024 5:15 PM MYT

JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur hari ini melupuskan 42,408 barang kes termasuk wang tunai berjumlah RM24,106.45, dengan keseluruhan barang dilupuskan dianggar berjumlah RM2.898 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pelupusan itu melibatkan 429 kertas siasatan yang selesai antara 2010 hingga 2023 daripada lima daerah iaitu Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Sentul, Cheras, Brickfields dan Wangsa Maju.

“Pelupusan dijalankan menggunakan kaedah e-sisa sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar sekali gus menjadi satu usaha menyahut pelaksanaan inisiatif amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau.

“Antara barang kes yang dilupus ialah barangan daripada kes perjudian seperti komputer, telefon, tablet dan mesin bitcoin; kes kontraban seperti rokok, minuman keras dan mercun serta kes noda seperti tuala mandi dan kondom,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelupusan barang kes berkenaan di Balai Polis Alam Damai di sini.

Beliau berkata barang kes yang dilupuskan itu telah mendapat perintah Pemusnahan atau Pelupusan Barang Kes yang tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).

Sementara itu, Allaudeen berkata pihaknya sedang menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan ugutan bunuh terhadap peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

“Kita masih menunggu laporan MCMC dan sebagainya, apabila kita dapat (laporan), ia akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

“Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, kita dah buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya telah selesai serta diserah kepada TPR manakala dua lagi dalam siasatan,” katanya yang memaklumkan polis telah mengenal pasti individu terlibat, namun belum melakukan sebarang tangkapan setakat ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas