Berita

Polis buru suspek panjat pagar, ceroboh landasan LRT

- Diterbit 8 Oktober 2024 3:37 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu suspek yang bertindak memanjat pagar untuk menceroboh landasan transit aliran ringan (LRT) Stesen Pasar Seni menyebabkan perkhidmatan tren terganggu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya turut menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai memanjat pagar untuk menceroboh landasan LRT.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau meminta kerjasama semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya membantu siasatan polis.

Terdahulu Rapid KL memaklumkan terdapat seorang suspek dipercayai menceroboh masuk ke landasan di antara Stesen LRT Pasar Seni dan KL Sentral sekitar pukul 7.08 malam.

Menurutnya, kakitangan Pusat Kawalan Operasi LRT mengesan insiden pencerobohan itu melalui CCTV yang berada di platform.

“Atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan polis bantuan dan kakitangan stesen LRT mengesan suspek tersebut.

“Hasil siasatan mendapati tiada kelibat suspek ditemukan setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.

“Suspek dipercayai berjaya melarikan diri tanpa dikesan,” katanya.

Jelas Rapid KL, susulan kejadian itu pasukan polis bantuan telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya.

“Perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya telah kembali pulih sepenuhnya pada pukul 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas