Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Polemik UiTM: Jangan belakangkan Perlembagaan Persekutuan

- Diterbit 24 Mei 2024 9:30 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) telah menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan pada peringkat kementerian atau kabinet mengenai cadangan membuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu.

“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan Rabu lalu.

Menyambut baik penjelasan tersebut, Persekutuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia turut senada menolak keras cadangan membuka kemasukan UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera ke institusi pengajian tinggi itu.

Presidennya, Saiful Azhar Shaharun ketika dihubungi menjelaskan bahawa semua pihak perlu memahami bahawa UiTM mempunyai akta tersendiri yang tertakluk di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkait dengan keistimewaan Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Penubuhan UiTM ini jelas menunjukkan perbezaan yang ketara dengan universiti lain kerana penubuhan institusi pengajian tinggi lain itu menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU),” katanya kepada Wilayahku.

Beliau menegaskan pandangan yang dilontarkan merupakan cubaan untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tiang seri negara ini.

Saiful Azhar berkata keberadaan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang memayungi hak dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak terbukti apabila ramai dalam kalangan alumni dan bekas pelajarnya telah mencipta pelbagai kejayaan yang sekali gus mengharumkan nama UiTM dan negara.

“Ini jelas membuktikan bahawa status quo sebagai universiti Melayu Bumiputera tidak pernah menghalang UiTM untuk terus berjaya setanding dengan yang lain,” katanya.

Saiful Azhar berkata pihaknya meletakkan kepercayaan dan pengharapan yang tinggi kepada kepimpinan tertinggi universiti serta kementerian untuk terus istiqamah menjaga amanah ini demi agama, bangsa dan negara.

Terdahulu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Profesor Dr Raja Amin Raja Mokhtar dipetik sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan Bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Walau bagaimanapun cadangan tersebut mendapat tentangan pelbagai pihak dan mencetuskan polemik yang berpanjangan berikutan ia dilihat cubaan membelakangi objektif penubuhan universiti berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas