PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa tragedi nahas jalan raya di Gerik, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Saya dan Azizah amat berduka cita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” ujar Anwar dalam hantaran yang dimuat naik di akauan facebook beliau.
Terdahulu sekurang-kurangnya 15 orang disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan mengenai kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, UPSI dalam hantaran Facebook turut mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan buat penuntut yang terbabit dalam kemalangan itu.-WILAYAHKU