Berita

PM umum peruntukan RM50 juta tambah baik perumahan JKDN

- Diterbit 23 Januari 2024 3:45 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menambah baik perumahan warga kerja Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Anwar memaklumkan peruntukan tersebut meningkat sebanyak RM30 juta berbanding RM20 juta tahun lalu.

Tambah Anwar, peruntukan tersebut untuk memastikan perumahan buat kakitangannya tidak lagi daif dan uzur selain kerajaan akan terus berusaha untuk membina perumahan baharu.

“Sebab itu bagi polis, tentera, Maritim Malaysia dan JKDM, kita akan beri keutamaan kepada perumahan pada tahun 2024 ini. Saya minta ini disegerakan, tidak ikut prosedur tender biasa.

“Perkara ini terpaksa ikut tender kerana kalau ada rundingan, rundingan ini kadangkala ada 10 peratus, 20 peratus itu bocor ke tempat lain.

“Sebab itu proses tender itu harus dipatuhi tapi boleh disegerakan, dipercepatkan. Kalau tandas robek, rosak, takkan nak tunggu tandas siap enam bulan. Itu satu penyeksaan, penderaan tapi boleh disegerakan semua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia kali-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam pada itu, Anwar turut menjamin pemberian bonus yang lebih baik buat warga kerja JKDM,, susulan pencapaian membanggakan jabatan itu sepanjang tahun lalu.

Sepanjang 2023, JKDM mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion, melepasi sasaran RM53.5 bilion dengan lebihan RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Selain itu, Perdana Menteri yakin sasaran kutipan RM56 bilion pada tahun ini akan dicapai oleh JKDM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas