PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang berjaya merangkul pingat kedua buat negara di Sukan Olimpik 2024.
Beliau berkata kemenangan itu satu lagi aksi memukau daripada atlet badminton negara.
“Tahniah Lee Zii Jia. Satu lagi persembahan memukau yang menghadirkan pingat gangsa kedua untuk negara,” katanya melalui akaun X.
Ia adalah pingat kedua yang dimenangi Malaysia, selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang gangsa, kelmarin selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perebutan pingat gangsa.
Zii Jia yang merupakan pemain rangking ketujuh itu berjaya meraih pingat gangsa apabila berjaya menundukkan lawannya Lakshya Sen dari India semalam pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.
Semalam, Zii Jia, bangkit daripada tewas set pertama 13-21, sebelum meraih kemenangan 21-16, 21-11.
Ini menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia di Facebooknya.
“Merayakan Lee Zii Jia, pemenang pingat gangsa kedua kita untuk Paris 2024.
“Perbincangan tentang bersama persatuan berbanding menjadi pemain bebas boleh tunggu untuk hari lain. Buat masa ini, mari kita raikan kemenangan ini,” katanya dengan penuh kegembiraan.
Hannah turut memuji jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng atas peranan pentingnya dalam membimbing atlet itu mencapai kejayaan.
“Syabas kepada jurulatihnya Wong Tat Meng kerana membantu Zii Jia sampai ke tahap ini,” katanya lagi. – WILAYAHKU