Berita

PM terima permohonan maaf Meta

- Diterbit 6 Ogos 2024 6:10 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf oleh Meta Platforms Inc (Meta) kerana menurunkan kandungan akaun Facebook dan Instagramnya berkait pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, minggu lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Anwar berharap perkara itu tidak berulang lagi selepas ini.

“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri dan beliau sendiri mengambil maklum akan permintaan maaf daripada Meta.

“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau, termasuk di Timur Tengah (Asia Barat), sudah membaca berita terbabit… bermaksud ia sudah sampai ke seantero dunia.

“Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya pada sidang medianya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.

Fahmi juga berkata tidak boleh menerima alasan daripada Meta berhubung penggantungan siaran langsung disiarkan di Facebook melalui akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad lalu.

“Mereka senyum simpul,” katanya ketika ditanya jawapan diberikan Meta berhubung perkara itu.

Terdahulu, media melaporkan Meta hari ini memohon maaf kerana menurunkan hantaran ucapan takziah melalui akaun rasmi Anwar di platform Facebook dan Instagram berhubung pembunuhan Haniyeh.

Menurut jurucakap Meta, ia adalah ‘kesilapan operasi’ dengan hantaran terbabit sudah dimuat naik semula menggunakan label berita yang sahih.

Semalam, kerajaan menuntut permohonan maaf daripada Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Ismail.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tuntutan itu dibuat ketika Fahmi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bertemu dengan wakil Meta, semalam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas