PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf secara terbuka Datuk Seri Najib Razak berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Terima baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau makan tengah hari di D’ Laila Kitchen, Medan Selera dan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Presint 16.
Semalam, dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
Najib menambah, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.
Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi sekarang, Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan memutuskan sama ada untuk memanggil Najib membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Najib telah dikenakan sejumlah 42 pertuduhan dalam empat perbicaraan jenayah berasingan yang berkaitan dengan 1MDB.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun selepas mendapat pengampunan, setelah disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta dana milik SRC International (SRC). – WILAYAHKU