Berita

PM raikan tradisi Malam Wartawan Malaysia 2024

- Diterbit 6 Jun 2024 6:51 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia yang bakal berlangsung pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata ini adalah kali kedua beliau hadir dan mengekalkan tradisi MPI dalam penganjuran Malam Wartawan Malaysia.

“Kehadiran berterusan YAB Perdana Menteri menunjukkan bahawa penghormatan tertinggi diberikan Kerajaan buat warga media.

“Selain menyampaikan ucaptama, beliau juga akan menyampaikan dua anugerah utama iaitu Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kajai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mustapa berkata Malam Wartawan Malaysia 2024 bakal dihadiri oleh 900 tetamu sebahagian besar terdiri daripada para pengarang kanan dan wartawan organisasi media.

Malam Wartawan Malaysia yang penganjurannya kini memasuki tahun ke-43 sejak 1981 bakal diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur.

Acara berprestij itu dianjurkan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 (HKM2023) yang ditaja oleh Petronas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas