Berita

PM minta rakyat berdoa demi kestabilan negara

- Diterbit 23 November 2023 4:02 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta seluruh rakyat untuk berdoa demi kestabilan politik sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan.

Ujar beliau, perkara itu penting dalam menjamin keamanan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Alhamdulillah politik stabil dan doalah supaya empat tahun sehingga pilihan raya akan datang tidak ada ganggu gugat lagi. Kerana kita jadi menteri atau Perdana Menteri dan menteri-menteri bukan untuk memunggah kekayaan.

“Kita jadikan ini sebagai kesempatan yang sebaiknya memikul amanah untuk berkhidmat sedaya upaya kita dengan sebaik mungkin”,katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menzahirkan keyakinan bahawa barisan kabinetnya mampu mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat sekiranya terus diberikan sokongan dan dokongan oleh rakyat.

Perdana Menteri turut berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap menteri kabinet Kerajaan Perpaduan setakat ini.

Beliau turut membidas pembangkang kerana sering menyindir beliau berikutan peringatannya terhadap isu tata kelola dan rasuah dalam setiap pertemuan.

“Memang rakan-rakan di sebelah sana  pembangkang kata jemu dan mual, orang Kedah kata cemuih. Seolah-olah dua istilah ini menakutkan mereka. Tetapi percayalah Malaysia ini mempunyai potensi sangat besar untuk diangkat martabatnya kalau kita betulkan isu tatakelola dan hentikan amalan rasuah”,katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas