PERDANA Menteri Jepu, Shigeru Ishiba mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga esok.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lepas.
Katanya, Ishiba akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
“Kedua-dua pihak dijangka akan meneliti semula kemajuan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Jepun, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia dan kerjasama dalam bidang tenaga.
“Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangkakan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah,” katanya.
Menurut Kementerian Luar Negeri, kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat.
Katanya, satu jamuan tengah hari yang dihos oleh Perdana Menteri bagi meraikan Ishiba juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.
Sehingga Jun 2024, sejumlah 2,821 projek pembuatan dengan penglibatan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM105.2 billion (USD30.4bilion).
Projek-projek ini telah menjana peluang pekerjaan untuk 344,996 orang, dan Jepun merupakan pelabur luar negara keempat terbesar dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan.
Jepun kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (USD34.41 bilion) pada tahun2023.
Perdagangan Malaysia-Jepun di antara bulan Januari dan November 2024 telah mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM140.62 billion (USD30.67 bilion).
Hubungan diplomatik Malaysia dengan Jepun telah bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023. – WILAYAHKU