Berita

PM hormat mahkamah, tidak campur tangan keputusan bebaskan Rosmah

Anwar melancarkan buku Lim Kit Siang: Malaysian First Jilid 1 & 2 di Ipoh, Perak, baru-baru ini.
- Diterbit 30 Disember 2024 12:13 PM MYT

SEBELUM ini kecoh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dituduh kononnya bersubahat dalam membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Tidak cukup itu, baru-baru ini Anwar dituduh pula terlibat dalam komplot untuk membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar adalah tidak berasas sama sekali kerana pemimpin utama negara itu sangat tegas dalam memerangi rasuah.

Sesuai dengan usaha murni Anwar untuk membanteras rasuah, mana mungkin beliau terlibat dalam mempengaruhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ini kerana Anwar seorang yang patuh kepada prinsip dan tidak memungkiri janji.

Anwar berkata, itu adalah keputusan mahkamah dan terserah kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan berikutnya.

Anwar menegaskan, adalah tidak munasabah menganggap pentadbiran beliau sama seperti pentadbiran terdahulu, yang beliau dakwa Perdana Menteri boleh memanggil hakim dan memberi arahan.

“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.

“Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara. Tapi saya tidak fikir perkara ini perlu jadi kontroversi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: Malaysian First Jilid 1 & 2 di Ipoh, baru-baru ini.

Pada Khamis minggu lepas, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilepaskan dan dibebaskan atas kes AMLA mencecah lebih RM7 juta dan lima kes berkaitan LHDN.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam reaksinya selepas prosiding berkata, pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sebelum ini, Zahid Hamidi kekal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.

Pada Jun 2019, Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem VLN.

Ia membabitkan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Semua itu adalah keputusan hakim mahkamah dan Anwar tidak pernah campur tangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas