Berita

PM hentam sikap berat sebelah media barat, tentang sebarang bentuk keganasan

ANWAR ketika sesi temu bual bersama Quest baru-baru ini.
- Diterbit 18 November 2024 5:03 PM MYT

DALAM sesi temu bual bersama Richard Quest dari CNN barubaru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang itu mengkritik media barat yang dilihatnya berat sebelah dalam liputan kemanusiaan di Gaza.

Untuk itu, beliau memberi penekanan kepada keperluan naratif yang seimbang, mencerminkan perjuangan rakyat Palestin yang selama ini ditindas Zionis.

Beliau turut mengajak Quest supaya tidak hanya memandang isu di Palestin dengan apa yang dilakukan Zionis baru-baru ini. Sebaliknya Perdana Menteri mahu semua pihak merujuk sejarah panjang penderitaan Palestin sejak peristiwa Nakba pada 1948.

Platform itu juga digunakan Anwar melaungkan penegasannya menentang sebarang bentuk keganasan. Namun beliau tetap mempersoalkan tumpuan barat terhadap konflik baru-baru ini sehingga mengabaikan sejarah penjajahan dan pendudukan Zionis yang lebih luas.

“Saya konsisten menentang sebarang bentuk keganasan. Tetapi di barat, mereka dalam media yang dikuasai mereka memang mengetengahkan isu keganasan. “Tetapi dalam masa yang sama, mereka ini membiarkan pencerobohan serta genosid yang sudah lama berlaku dan berterusan sehingga kini (di Gaza oleh rejim zionis),” katanya.

Menelusuri semuanya itu, Perdana Menteri juga bimbang dengan perencanaan di Barat untuk memadamkan atau mendiamkan sahaja apa yang berlaku lama

sebelum konflik 7 Oktober di Gaza. Klip video temu bual itu dimuat naik di akaun X Quest pada Selasa lalu.

Serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza yang genap setahun (bertarikh 7 Oktober) meninggalkan derita dan sengsara berterusan ke atas rakyat Palestin dengan lebih 50,000 orang menjadi korban.

Konflik Taufan Al-Aqsa yang bermula pada 7 Oktober 2023 selepas siri ketegangan antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera rejim Israel, tidak kelihatan akan reda dengan ada menyifatkan Israel melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Konflik berpanjangan ini turut menyebabkan ratusan ribu orang hilang dan kehilangan tempat tinggal selain kemusnahan infrastruktur yang amat dahsyat sehingga menyukarkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terjejas.

Seperkara lain, beliau ketika ditanya mengenai kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) berkata, sebarang bentuk dasar perlindungan akan menjejaskan negara-negara dari segi perdagangan dan pelaburan.

Beliau merujuk kemungkinan Trump bakal memperkenal dasar berkenaan pada masa depan yang boleh menjejaskan Malaysia. Menurut laporan, Trump berjanji untuk mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar di seluruh dunia.

Menyentuh mengenai organisasi antara kerajaan (BRICS), Anwar berkata ia adalah berbentuk hubungan ekonomi dan perdagangan susulan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan.

“Kami telah mendapat manfaat yang amat besar daripada kerjasama dengan AS dan Eropah dan kini China sedang berkembang, justeru dengan BRICS, kami membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas