PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang nelayan yang berbulan-bulan tidak dapat turun mencari rezeki kerana keadaan laut yang bergelora.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Di Kampung Baru Cherating, Kuantan, saya bertemu Mohammad Kasim, seorang nelayan yang sudah berbulan-bulan tidak dapat mengail rezeki akibat keadaan laut yang bergelora.
“Laut yang dulu menjadi punca rezekinya kini seakan menutup peluang, menyebabkan pendapatannya merosot teruk,” katanya yang hadir semalam dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang.

Ujar beliau, rumah Mohammad juga akan dibaik pulih agar lebih selesa buat mereka sekeluarga.
“Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Hari ini mungkin getir, tapi esok Insya-Allah lebih baik. Semoga bantuan ini menjadi pemangkin untuk Mohammad dan keluarganya terus bangkit,” katanya. – WILAYAHKU