Berita

PM beri penerangan isu tarif AS dalam sidang khas Dewan Rakyat

- Diterbit 5 Mei 2025 10:33 AM MYT

SIDANG khas Dewan Rakyat yang berlangsung pagi ini akan memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberikan pandangan berhubung isu tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan import dari Malaysia.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, sidang berkenaan diadakan pada pukul 11 pagi dan dimulakan dengan penerangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri akan menerangkan mengenai tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara tersebut dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia.

“Seterusnya menerangkan mengenai tindak balas kerajaan merentasi pelbagai kementerian dan sektor serta penyelarasan penyelesaian jangka pendek dan sederhana. Ini termasuk semakan semula terhadap dasar-dasar semasa bagi industri tertentu,” jelas aturan berkenaan.

Aturan tersebut memaklumkan, Perdana Menteri juga akan menerangkan mengenai perancangan jangka panjang ekonomi negara bagi mendepani impak perang perdagangan antarabangsa agar ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.

“Ini diikuti dengan ahli-ahli Yang Berhormat meminta penjelasan dan memberikan pandangan dan diakhiri dengan Menteri menjawab isu-isu yang dibangkitkan itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan, tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.

Walau bagaimanapun keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia kecuali China. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas