Berita

PM Anwar ucap tahniah kepada Presiden Syria, nyata komitmen perkukuh hubungan dua hala

- Diterbit 7 April 2025 9:30 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa atas pembentukan kerajaan baharu negara itu, sekali gus menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin.

Dalam hantaran di Facebook no hari ini, Anwar berkata Malaysia bersedia untuk menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat tempatan dalam usaha pembinaan semula Syria, terutamanya dalam sektor ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

“Malaysia komited untuk meningkat hubungan dua hala, khususnya dalam bidang ekonomi, dan bersedia menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria,” katanya.

Tambah beliau, Presiden al-Sharaa turut menjemput beliau untuk melakukan lawatan rasmi ke Syria dalam usaha mempererat lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Syria telah terjalin sejak tahun 1958, dan kedua-dua negara saling menyokong dalam pelbagai isu antarabangsa.

Walaupun Syria mengalami konflik dalaman selama lebih sedekad, Malaysia konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian aman melalui pendekatan diplomatik dan dialog antara semua pihak berkepentingan.

Malaysia juga telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria melalui pelbagai agensi termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MERCY Malaysia dan Yayasan Kebajikan Negara.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas