PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang baharu dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), dalam satu pertemuan yang menyentuh pelbagai isu strategik membabitkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri memaklumkan perbincangan antara kedua-dua pihak menyentuh soal pengukuhan hubungan Malaysia-AS serta usaha menarik pelaburan asing yang berkualiti dan berimpak tinggi dari negara kuasa besar itu.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Muhammad Shahrul dan yakin beliau mampu mengangkat aspirasi, imej serta reputasi Malaysia ke peringkat tertinggi,” kata beliau.
Pelantikan Muhammad Shahrul Ikram sebagai Duta Besar Malaysia ke AS merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran diplomatik negara di Washington D.C., selaras dengan peranan utama AS sebagai antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia.
Muhammad Shahrul Ikram yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, mempunyai pengalaman luas dalam bidang diplomasi dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Pelantikan beliau dijangka mampu membawa nilai tambah kepada usaha memperkukuh hubungan strategik Malaysia-AS merangkumi aspek ekonomi, keselamatan, pendidikan dan teknologi.
Malaysia kini mempunyai 109 misi diplomatik di luar negara, termasuk 66 Kedutaan Besar dan 16 Suruhanjaya Tinggi. Duta Besar ke AS memainkan peranan penting dalam menjalin kerjasama dua hala serta memastikan kepentingan negara dilindungi dan diperjuangkan di pentas antarabangsa.
Pertemuan pagi tadi turut mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mendukung misi diplomatik negara serta menjalin hubungan luar yang lebih proaktif dan berkesan demi kemakmuran dan kepentingan rakyat Malaysia. – WILAYAHKU