Berita

PM Anwar dukung penuh titah Sultan Selangor

- Diterbit 30 Disember 2023 10:43 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.

Anwar berkata bukan Islam di negara ini boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan berhubung perkara melibatkan Islam.

“Ia mesti dilakukan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI mengingatkan rakyat negara ini khususnya mereka bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Baginda bertitah MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Titah baginda, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang membabitkan undang-undang dan agama Islam.

“Justeru, baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” katanya menerusi kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office, semalam

Sultan Selangor bertitah sedemikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas,  Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas