Berita

PM Anwar adakan kawatan kerja ke Itali

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Sambutan Rasmi Presiden Republik Kyrgyz, TYT Sadyr Zhaparov, di Putrajaya. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require further permission. MANDATORY CREDIT -
- Diterbit 1 Julai 2025 10:30 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Itali dari 1 hingga 3 Julai ini.

Menurut Wisma Putra, lawatan ini diadakan atas undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan merupakan lawatan pertama Anwar ke negara tersebut.

Jelasnya, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut sama mengiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Giorgia Meloni pada 3 Julai di Chigi Palace, Rom.

“Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga,” jelasnya dalam kenyataan.

Tambah Wisma Putra, kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali; Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah; dan situasi di Asia Barat.

Katanya, Perdana Menteri juga akan menggariskan keutamaan Malaysia semasa Kepengerusian ASEAN 2025 serta usaha ASEAN dalam mendepani cabaran serantau dan global.

“Pada 2 Julai, beliau dijadual merasmikan ‘Malaysia-Italy Economic Partnership Roundtable’ yang akan dihadiri oleh pemimpin industri Malaysia dan Itali bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.

“Selain itu, program beliau juga merangkumi perjumpaan bersama pemimpin komuniti Islam di Itali serta majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia,” katanya.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali yang terjalin sekian lama adalah kukuh dan saling menguntungkan, didukung oleh pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang berterusan serta kesalinghubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion) berbanding tahun 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (AS$1.48 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.

Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.

Dalam pada itu Wisma Putra memberitahu, Perdana Menteri akan berlepas ke Perancis bagi mengadakan lawatan rasmi pada 3 dan 4 Julai setelah tamat lawatan di Itali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas