Berita

PLUS dinobat pemangkin digital 2020

- Diterbit 2 November 2020 9:35 AM MYT

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi pengendali lebuh raya pertama di negara ini dinobatkan sebagai Pemangkin Digital 2020 oleh International Data Corporation (IDC) Malaysia.

Menurut kenyataan PLUS, anugerah itu yang merupakan pengiktirafan atas kecemerlangan syarikat melaksanakan inisiatif digital, diterima pada Anugerah Transformasi Digital IDC 2020 ke-4 pada 12 Okt lepas.

“Dinobatkan sebagai pemenang anugerah berprestij ini membuktikan bahawa kami telah bekerja keras, mungkin lebih gigih daripada rakan industri lain dan merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan atas usaha transformasi digital kami,” kata Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi PLUS Shamsul Izhan Abdul Majid yang dipetik oleh kenyataan itu hari ini.

Katanya mereka juga akan memastikan penambahbaikan berterusan sepanjang proses menyediakan produk inovatif, selain memberi pengalaman terbaik dalam perkhidmatan pelanggan.

Menurut kenyataan itu, anugerah tersebut diterima menerusi projek transformasi digital PLUS ‘Toll of Tomorrow: PLUS Towards the Smart Highway’ yang dipilih daripada 1,300 penyertaan melibatkan 640 organisasi dari seluruh Asia/Pasifik.

Antara inisiatif yang dilaksanakan di bawah Toll of Tomorrow ialah membina Penyimpanan Data, PLUS Texting Realtime Interface (PUTRI) dan aplikasi mudah alih PLUS.

Menurut kenyataan itu, kempen berkenaan telah mendorong kepada peningkatan empat mata dalam Indeks Perkhidmatan Pelanggan 2019 dan hampir 350,000 jumlah muat turun aplikasi PLUS telah direkodkan dari akhir 2018 hingga 2020.

“Ini antara pemangkin rancangan transformasi digital demi mewujudkan dan memperkukuh infrastruktur pada masa depan agar dapat terus ditambah baik, kajian berterusan serta menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif dalam bidang mobiliti dan industri lebuh raya dalam negara,” kata Shamsul Izhan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas