Artikel

PLKN kembali bentuk sahsiah diri

Gambar hiasan
- Diterbit 28 Oktober 2023 11:33 AM MYT

NAMA aku naik!” “Nama aku pun naik!” “Nama aku tak naiklah!” Itu gelagat dalam kalangan pelajar tingkatan 5, termasuk dalam Wilayah Persekutuan, sebagai reaksi sama ada terpilih atau sebaliknya mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 suatu ketika dahulu.

Program yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2003 itu dihentikan pada 2018. Setelah lima tahun berlalu, PLKN bakal kembali dengan nama PLKN 3.0. Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Proses pemilihan pelatih dahulu dibuat secara rambang. Kerana itu ada pelajar yang terpilih, ada yang tidak. Bagi yang memang berminat dan terpilih pasti seronok. Jika tidak, akan rasa kecewa. Ada yang berharap tidak terpilih, tetapi termasuk pula dalam senarai!

Pada asasnya, PLKN menekankan kekentalan fizikal dan mental, menanam semangat cintakan negara, pembinaan karakter serta perkhidmatan komuniti. Bagi Adi tujuan ini memang sangat murni dalam membentuk sahsiah diri serta menyediakan pemimpin pelapis untuk masa hadapan.

Ketika itu latihan dijalankan di kem-kem persendirian seluruh negara yang diiktiraf oleh kerajaan, menurut modul yang ditetapkan. Konsep latihan bersifat holisitik serta sangat bermanfaat untuk menyemai semangat patriotik.

Sejajar matlamat itu, peluang terbuka kepada ribuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai latihan melalui pemilihan rambang. Jumlah sasaran pelatih ialah antara 85,000 hingga 95,000 pelajar setiap tahun di kem seluruh negara. Perbelanjaan pula dianggar RM600 juta setahun.

Namun Adi bangga walau dengan kos yang tinggi, program ini tidak terjejas kerana kerajaan mahu melahirkan bukan sahaja insan berilmu tetapi juga mempunyai nilai diri yang tinggi serta menjadi aset penting negara.

Bagaimanapun setelah 12 tahun dilaksanakan, kerajaan melaksanakan rasionalisasi perbelanjaan yang menyaksikan PLKN dihentikan sementara untuk tempoh setahun pada 2015. Dalam tempoh itu, kerajaan mengkaji semula perbelanjaan yang menyaksikan penyesuaian daripada segi jumlah pelatih.

Justeru apabila dimulakan kembali pada 2016, dikenali sebagai PLKN 2.0, jumlah pengambilan pelatih jauh menurun, hanya 2,000 orang. Akhirnya program ini dihentikan terus pada 2018. Tiada khabar berita mengenainya selepas itu sehinggalah kerajaan mengumumkan PLKN bakal kembali.

Adi sifatkan langkah mewujudkan kembali PLKN sebagai bijak kerana sesungguhnya program ini sangat bermanfaat. Cuma kemunculannya kembali bakal melalui pendekatan berbeza berbanding pelaksanaan dahulu.

Jika dahulu latihan diadakan di kem persendirian, kali ini ia akan dijalankan di kem-kem tentera seluruh negara, juga Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Jumlah pelatih hanya dalam lingkungan 4,000 orang. Jangka masa latihan hanya 45 hari berbanding tiga bulan dahulu.

Latihan merangkumi dua fasa. Fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform. Dahulu, program ini tidak melibatkan pelajar tingkatan empat. Fasa kedua pula menekankan latihan disiplin dan ketenteraan melibatkan pelajar lepasan SPM.

Pelaksanaan program di kem tentera dan PULAPOL bererti ia tidak melibatkan pengusaha kem latihan sebelum ini. Sebenarnya Adi simpati dengan ramai pengusaha PLKN ini yang menanggung kerugian, malah sehingga diisytihar muflis, apabila latihan dihentikan dan kem ditutup.

Ini berlaku kerana dalam proses membina kem dan menyiapkan segala kemudahan latihan, ada yang membuat pinjaman bank. Apabila kem ditutup dan tiada lagi sumber pendapatan, mereka terpaksa menanggung beban hutang.

Namun pada waktu sama, Adi juga sedar kerajaan perlu menjimatkan perbelanjaan memandangkan peruntukan juga perlu diberi untuk keperluan lain. Tetapi kembalinya PLKN menandakan ia tetap diberi keutamaan sebagai kesinambungan kepada program yang terputus lima tahun lalu.

Cuma barangkali kerajaan boleh mempertimbang memberi sedikit peranan kepada pengusaha kem dahulu. Misalnya menggunakan tenaga jurulatih dahulu, selain jurulatih yang tentunya ramai terdiri daripada tentera dan polis.

Adi juga tidak pasti apa kaedah yang akan digunakan dalam pemilihan pelatih PLKN 3.0. Adakah secara rambang seperti dahulu? Juga Adi tidak pasti bila tarikh sebenar program akan bermula. Maklumat terperinci mungkin akan diumumkan tidak lama lagi.

Apa pun Adi harap mereka yang terpilih menganggap diri sebagai istimewa dan bertuah kerana berpeluang menjalani latihan yang sangat bermanfaat dalam kehidupan sebagai pelajar. Latihan yang diterima adalah bekal berguna dalam menjalani kehidupan dan kerjaya di hari muka.

Oleh itu jalani latihan dengan komited dan bersungguh-sungguh. Usah persiakan peluang yang diberi. Latihan di kem tentera atau PULAPOL secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pelajar kehidupan di kem dan pusat latihan polis.

Pada era Adi bersekolah menengah dahulu, tidak ada program PLKN. Tiada peluang menjalani latihan ala tentera untuk memperkuat fizikal dan ketahanan diri. Kini sudah ada peluang tersebut. Gunakan sebaik-baiknya.

Mungkin ramai daripada mereka yang menyertai latihan PLKN kemudian nanti akan tertarik memilih kerjaya tentera atau polis, tidak kiralah sebagai pegawai atau anggota biasa. Justeru pengalaman menyertai PLKN memberi latihan pengenalan yang berguna apabila menghadapi latihan sebenar kelak.

Pengalaman menjalani latihan di kem dan PULAPOL akan menjadi bekalan berguna menjalani kehidupan sebenar sebagai rekrut tentera atau polis. Mereka tidak merasa janggal atau terlalu asing membiasakan diri dengan kehidupan sebenar di kedua-dua tempat tersebut lantaran sudah pernah merasainya.

Cuma perlu diingat latihan sebenar di kem dan PULAPOL, serta kehidupan di kedua-dua tempat tersebut adalah lebih mencabar berbanding ‘menumpang’ tempat latihan semasa menyertai latihan PLKN. Sementara latihan PLKN dianggap sederhana atau ‘mild’, latihan ketenteraan adalah lebih lasak.

Kerana itu hanya mereka yang memiliki kekentalan fizikal dan minda lebih mudah menyerap cabaran dan tekanan. Dalam aspek inilah latihan PLKN amat berguna menyediakan mereka dengan kekuatan menghadapi laluan penuh ujian.

Adi juga berharap kembalinya semula PLKN 3.0 akan menyaksikan ia terus wujud untuk tempoh waktu yang lama. Semoga episod pemberhentian sementara pada 2015 serta pemberhentian lima tahun pada 2018 tidak berulang.

PLKN wajar terus menjadi salah satu agenda penting yang dicatat dalam diari pelajar menengah melalui latihan berterusan. Adi optimis dengan pengendalian latihan melalui kem tentera dan PULAPOL akan merealisasikan matlamat ini kerana ia memberi banyak penjimatan kepada kerajaan.

Pihak swasta juga wajar turut mengambil inisiatif membantu program latihan, misalnya memberi tajaan atau sumbangan untuk keperluan latihan. Ini kerana pelajar yang melalui latihan PLKN juga adalah antara tenaga kerja yang bakal memenuhi keperluan swasta kelak. Justeru bersamalah membantu kejayaan PLKN. – WILAYAHKU

Adi—Pernah mohon jadi polis

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas