SELEPAS tujuh tahun dimansuhkan, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan semula bermula semalam dengan penyertaan seramai 120 orang pelatih yang berdaftar secara sukarela.
Menurut Kementerian Pertahanan, ia terdiri daripada 80 pelatih lelaki dan 40 pelatih wanita berusia di antara 18 hingga 25 tahun, termasuk 13 orang yang datang secara ‘walk-in’ pada hari pendaftaran.
Jelasnya, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah melaksanakan pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1/2025 bertempat di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.
“Program siri pertama kali ini bermula pada 12 Januari hingga 25 Februari iaitu selama 45 hari.
“Program PLKN 3.0 Siri 1/2025 ini merupakan wadah pembentukan satu generasi baharu yang mempunyai semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawan,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian Pertahanan menambah, secara khususnya PLKN 3.0 dilaksanakan berdasarkan objektif iaitu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda; memupuk dan menyatupadukan golongan muda pelbagai kaum serta
integriti nasional.
Ia juga katanya, membentuk perwatakan positif dan mengamalkan nilai-nilai murni; menanam dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan selain melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas dan berkeyakinan.
“Sepanjang program PLKN 3.0, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik. Modul-modul latihan mengintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Komponen Kenegaraan.
“Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia MADANI dan kemahiran kepimpinan.
“Modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” jelasnya.
Tambahnya, PLKN 3.0 Tahun 2025 akan dimulakan dengan tiga siri di dua kem yang berbeza.
Katanya, PLKN 3.0 Siri 2/2025 akan dilaksanakan pada 11 Mei hingga 24 Jun manakala PLKN 3.0 Siri 3/2025 akan dilaksanakan pada 7 September hingga 21 Oktober iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah. – WILAYAHKU