BEBAS BERKARYA

BERKECIMPUNG selama 15 tahun di dalam dunia grafiti, Lowkey, 32, berpendapat seni tersebut merupakan salah satu cara bagi mengekspresikan perasaan ke atas dinding sama ada dalam bentuk kata-kata, seni rupa atau warna untuk dikongsikan serta sebagai tatapan umum.
“Hanya berbekalkan tin spray kami dapat menzahirkan apa sahaja yang berada di dalam pemikiran dan tidak perlu terikat dengan mana-mana konsep lukisan. Kebiasaannya bila stres saya akan luahkan pada mana-mana dinding kosong dan awam.
“Namun apa yang penting bagi artis grafiti, kami akan menjaga terma seni itu dalam berkarya. Itu yang membezakan kami dengan mereka yang melakukan vandalisme,” katanya yang mula meminati seni grafiti sejak di bangku sekolah.
Lowkey berkata meskipun seni grafiti ini dianggap contengan namun masih perlu melalui beberapa proses sebelum ia diluahkan di dinding kosong.
“Seperti pelukis yang lain, kita juga perlu lakukan lakaran terlebih dahulu di mana zaman dahulu tiada digital tools jadi kita akan gunakan kertas tetapi sekarang proses lakaran lebih mudah dengan kewujudan Photoshop dan sebagainya.
“Dari segi warna pula kita akan cuba di kertas dulu untuk tahu komposisi warna yang tepat dan bersesuaian dengan lakaran. Grafiti ini juga lebih kepada try and error di mana lebih kerap artis tersebut berkarya di dinding-dinding maka lebih mahir dan mantap skill mereka,” jelasnya satu lukisan boleh memakan masa maksimum sehingga dua hari untuk disiapkan. – WILAYAHKU