RATUSAN tahun dahulu, seni grafiti merupakan medium bagi para karyawan menulis kata-kata puitis menyatakan ketidakpuasan terhadap pemerintah, ketidakadilan serta penderitaan yang dihadapi golongan bawahan.
Seiring masa ia berkembang menjadi seni jalanan di mana ia dikaitkan dengan imej negatif kerana lakaran yang dibuat kebanyakannya membawa unsur lucah, cacian dan sebagainya.
Namun, kini imej tersebut kian pudar diganti dengan yang lebih positif. Malah seni grafiti hari ini semakin berkembang dengan keindahan dan keunikannya hasil artis-artis seni yang hebat sekali gus berjaya mengangkat martabat grafiti.
Tidak terhenti di situ, kota-kota dunia seperti New York, Berlin dan Taheran turut menjadikan seni grafiti sebagai sebahagian daripada keindahan kota.
BUKA MATA MASYARAKAT

NEWBA merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia kreatif ini. Mula menceburi bidang kreatif ini sejak tahun 2000, dia mengakui grafiti tidak memerlukan banyak pemikiran dan mendatangkan keseronokan buat pelukis.
“Antara kelebihannya ia tak stres, selalu orang akan cakap seni memerlukan sesuatu maksud tetapi bagi kami grafiti tidak memerlukan apaapa maksud tersirat atau tersurat pun, lukisan biasa sahaja pun boleh.
“Grafiti terbahagi kepada dua iaitu letter di mana kita menggunakan stail tulisan sendiri manakala character pula kebiasaannya apabila idea datang daripada individu yang kita idolakan atau keadaan sekeliling. Grafiti juga macam doodle sebab kedua-duanya adalah contengan,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Out For Fame yang diadakan di Art Depot, Balai Seni Negara pada 15 dan 16 Julai lalu.
Newba berkata pada tahun 2010 Malaysia merupakan antara negara di Asia Tenggara yang popular dengan seni grafiti meskipun ia masih tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
“Jika dibandingkan dengan sekarang, dulu kita lebih banyak kumpulan dan artis sehinggakan Malaysia pernah anjurkan satu festival seni grafiti secara besar-besaran yang dikelolakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ketika itu artis-artis muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan tetapi masih ramai beranggapan bahawa grafiti itu merupakan vandalisme. Waktu itu kita masih remaja jadi suka buat benda-benda yang nakal, orang tak suka kerana bagi kami the more you paint the more fun you get sebab kita akan berkumpul ramai-ramai dan berkarya,” ujarnya yang juga merupakan antara penganjur bagi Program Out For Fame.
Tambahnya, golongan muda kini tidak terdedah dengan seni grafiti disebabkan pengaruh sosial media seperti TikTok yang lebih kuat di mana golongan remaja lebih cenderung untuk menjadi pempengaruh sosial media.
“Di samping itu, mungkin juga mereka takut untuk mencuba sesuatu yang baru selain perlu belajar daripada kami yang rata-rata sudah berumur 30 tahun ke atas jadi mungkin agak janggal. Disebabkan itu Writersblock menganjurkan Program Out For Fame bagi meraikan semua artis lama mahupun baru di mana ada sesetengah budak baru terlibat, kita beri tin spray dan biarkan mereka berkarya,” jelasnya yang tidak mahu seni grafiti hanya terhenti setakat ini memandangkan Malaysia sudah mempunyai beberapa nama besar yang berjaya membawa negara ke peringkat antarabangsa.
Newba berkata antara penglibatan artis grafiti di pentas antarabangsa adalah Shanghai World Expo Pavillion China 2010 dan seramai lapan artis Malaysia termasuk dirinya dipanggil untuk menghasilkan 24 mural di bangunan-bangunan Karam District, Dubai pada tahun 2016.
Sering menjadi persoalan hangat sama ada grafiti adalah vandalisme atau seni, Newba bependapat bahawa ia adalah seni kerana mereka menghasilkan karya dan dalam masa yang sama membantu mencantikkan atau menghidupkan kembali ruang, lorong dan bangunan usang.
“Saya akui pada mulanya kami memang melakukannya tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kami tidak pernah lukis sesuatu yang lucah atau berunsur politik dan kebiasaannya kami akan melukis pada waktu malam ketika tiada orang.
“Biasanya kami tiada masalah dengan pihak polis cuma sering diganggu oleh orang yang lalu-lalang sahaja yang tak bagi kami lukis di kawasan tersebut,” ujarnya sebagai artis grafiti, mereka berpegang pada satu prinsip tidak akan melukis pada dinding kepunyaan orang dan hanya memilih dinding awam yang tidak memerlukan apa-apa kebenaran untuk berkarya.
Berkongsi mengenai perancangan komuniti Writersblock dalam menarik minat golongan muda terutamanya, Newba berkata dirinya mahu memperkenalkan seni grafiti di peringkat sekolah menengah untuk membuka mata masyarakat bahawa grafiti bukan hanya sekadar contengan biasa malah boleh dijadikan sebagai salah satu karier pada masa akan datang. – WILAYAHKU
