INSTITUSI kewangan bukan bank terbesar di Malaysia, Planworth menerima Anugerah Enterprise 50 (E50), Sabtu lalu.
Anugerah disampaikan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang syarikat berkenaan membantu ke arah pembangunan negara.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Planworth, Datuk Kuek Andy, berkata ia satu pengiktirafan yang besar tetapi syarikatnya tidak berniaga semata-mata untuk mengejar anugerah.
“Keutamaan kami adalah membantu lebih ramai perniagaan tempatan mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik, sama ada syarikat kecil atau besar.
“Kami percaya dengan memberi bantuan dengan ikhlas dapat kami sama-sama menikmati kejayaan bersama pelanggan yang dibantu dengan objektif untuk memperkasa dan mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.
“Membantu keperluan kewangan dan menggembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat Planworth. Perniagaan yang berkembang akan mengukuhkan ekonomi negara seterusnya memberi banyak peluang kepada orang ramai dari sudut pekerjaan, perniagaan dan lain- lain,” kata Andy.
Tahun lalu, Planworth telah mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan mensasarkan peningkatan kepada RM700 juta pada tahun ini.
Secara keseluruhan semenjak penubuhan syarikatnya, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion ke dalam ekonomi negara.
Planworth menyediakan Solusi Modal Kerja melalui pembiayaan invois (invoice financing), pembiayaan belian (purchase order), pengurusan modal kerja (working capital), pinjaman berjangka (term loan), kredit pusingan (revolving credit), pengurusan penghutang
(trade receivables) secara Konvensional dan Islamik untuk bisnes perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).
Planworth mempunyai kaitan langsung dengan The Grand Columbia Group yang telah beroperasi sejak tahun 1992, dengan nilai aset melebihi bilion ringgit. – WILAYAHKU