Fitnah vs Fakta

PKR tidak ada politik wang

SAIFUDDIN menafikan berlakunya amalan politik wang dalam pemilihan PKR.
- Diterbit 23 Mei 2025 11:02 PM MYT

ISU politik wang kembali dimainkan kononnya berlaku dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Jika sebelum ini ia sekadar khabar angin yang hanya berlalu pergi, namun kali ini tidak lagi apabila lama-kelamaan menjadi bualan sehingga ada yang menganggap PKR sudah tidak relevan.

Dakwaan politik wang yang diamalkan PKR kononnya dilihat telah menghakis nilai kepercayaan terhadap parti tersebut. Bukan itu sahaja, semakin hari semakin ramai warganet mempertikai ketelusan dalam PKR.

Biarpun begitu, jangan cepat menuduh kerana itu semua hanyalah fitnah semata-mata yang ditimbulkan oleh pihak tertentu. Mungkin ada yang dengki dengan kehebatan kerajaan sekarang yang mampu menyelesaikan banyak masalah negara.

Bukti semua itu hanyalah tuduhan palsu apabila bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan berlakunya amalan politik wang dalam bentuk mendapatkan sokongan atau pengaruh.

Beliau berkata PKR kekal berpegang kepada prinsip asas perjuangan parti yang dibina bukan atas kekuatan dan sebaliknya dengan cara menyuntik idealisme kepada rakyat untuk menerima parti itu seadanya.

“Politik wang dalam takrif bagi duit untuk mendapat sokongan ini saya tak fikir Keadilan (PKR) berada pada tahap itu.

“Tapi, kalau menggunakan wang untuk mengadakan program, jamuan, sewa khemah, bayar hotel dan restoran saya ingat itu memang ada berbanding zaman susah tahun 1998, 1999 dahulu.

“Ketika itu Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) masih belajar, saya sudah jadi pengasas parti, jadi masa itu memang program buat di warung, rumah. Begitu sahaja kalau kongres parti pun buat di sekolah (persendirian) Cina (kerana) relatifnya belanja pada masa itu kecil.

“Tapi sekarang ada keupayaan logistik, dana oleh sesetengah calon, jadi dia buat di tempat besar tetapi saya setuju ia tidak boleh sampai dilihat lavish (mewah) jamuan, hotel lima enam bintang, saya sebut sebagai orang lama, bagi saya tidak wajar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Penjara ke-235 baru-baru ini.

Saifuddin yang juga masih memainkan peranan penting sebagai ahli Biro Politik PKR menggesa anggota parti yang mempunyai bukti wujud amalan politik wang supaya tampil membuat laporan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti.

Beliau turut menegaskan supaya kempen tidak dijalankan secara berlebihan hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dengan semua pihak dalam PKR harus mengekalkan suasana harmoni dan tidak terjebak dengan budaya politik perpecahan.

“Pemikiran yang betul adalah kita semua bersama, bukannya ‘kita lawan mereka’ yang bersifat merosakkan.

“Selepas pemilihan, kita mesti turun semula ke lapangan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang,” katanya.

Antara bukti PKR serius dalam hal ini apabila mereka mengalu-alukan sebarang laporan berkaitan salah laku termasuk jika wujud amalan politik wang pada pemilihan PKR 2025 perlu dilaporkan terus kepada Lembaga Disiplin parti, berserta bukti.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata setakat ini, pejabatnya tiada maklumat berhubung perkara itu kerana masih belum menerima laporan daripada Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Jika ada (laporan), ia disalurkan terus kepada Lembaga Disiplin. Jika berlaku (politik wang seperti didakwa), hantar terus laporan berserta bukti kepada Lembaga Disiplin parti,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas