JABATAN Perhutanan Negeri Johor menasihati orang awam supaya tidak memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal seperti Hutan Simpan Soga di sini, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Pengarahnya Datuk Salim Aman berkata susulan pelaksanaan PKP 3.0 mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini, semua kawasan rekreasi dan riadah dalam Hutan Simpanan Kekal termasuk Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri dan juga trek-trek pendakian adalah ditutup sepenuhnya.
“Sehubungan itu, kemasukan ke mana-mana kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang menyusul selepas media melaporkan seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika mendaki bukit di kawasan Hutan Simpan Soga bersama isteri dan anaknya, Rabu lepas.
Beliau berkata Hutan Simpan Soga merupakan kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan Hutan Tertutup dengan kemasukan dilarang kecuali melalui Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan.
Sehubungan itu menurutnya tindakan warga emas bersama ahli keluarganya itu jelas menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja melanggar larangan PKP malah turut melakukan kesalahan memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran.
“Jabatan Perhutanan negeri Johor telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut berkaitan kes berkenaan,” katanya. — BERNAMA