PETALING Jaya (PJ) diberi status bandar raya sejak 20 Jun 2006. Menghampiri usia 20 tahun, namun suasana semasa PJ seperti tidak menggambarkan kemegahannya selaku bandar raya.
Lalu lintas sesak, kawasan persekitaran khususnya di Taman Medan yang bagaikan tidak terurus baik, ia memerlukan satu perancangan yang khusus mendepani isu-isu sekitar PJ.
Itulah yang dihadapi Ahli Parlimen Petaling Jaya, LEE CHEAN CHUNG sejak memenangi kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau menjawab beberapa persoalan penting mengenai PJ selain isu-isu semasa nasional.
—
Dalam isu melibatkan projek pembinaan Lebuh Raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link), Yang Berhormat (YB) menyokong atau sebaliknya? Dan apa status projek tersebut setakat ini? Atau ia sudah dibatalkan terus?
Sejauh yang saya tahu projek ini tidak diteruskan. Ini kalau kita teliti keputusan Kabinet baru-baru ini mengenai status projek berkenaan.
Sungguhpun begitu, apa baik dan buruknya PJD Link pada pandangan YB?
Mengenai PJD Link, apa yang baiknya adalah ia dapat menyuraikan trafik di beberapa bahagian jalan yang mengalami kesesakan lalu lintas sekarang.
Namun begitu, keburukannya adalah ia akan mengalami induced traffic yang mana kenderaan-kenderaan akan ditarik ke jajaran lebuh raya tersebut dan memudaratkan lagi kesesakan yang sedia ada.
Sebagai contohnya LDP (Lebuhraya Damansara–Puchong). Disebabkan jalan keluar yang disambung terus ke jalan lama Petaling Jaya, dijangka bahawa kesesakan di bottleneck juga akan bertambah teruk.
Tambahan pula rakyat perlu membayar (tol) buat beberapa puluh tahun akan datang.
Jika tiada PJD Link, apa penyelesaian terbaik mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya? Lebuh Raya Persekutuan juga sesak teruk, terutama pada waktu puncak di kedua-dua hala.
Paling utama adalah kita perlu memperkasakan pengangkutan awam. Tambahan perkhidmatan bas termasuk bas mini, perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT), lorong motosikal dan juga lorong pejalan kaki.
Saya mencadangkan laluan khusus untuk bas diwujudkan selepas kajian terperinci dibuat oleh pihak bertanggungjawab. Perkhidmatan BRT (Transit Aliran Bas) seperti TransJakarta di Jakarta, Indonesia juga boleh diwujudkan sepanjang Lebuhraya Persekutuan bagi mengelak kesesakan teruk di laluan berkenaan.
Petaling Jaya berstatus bandar raya. Tetapi aspek keceriaan, kualiti jalan raya, kualiti hidup rakyat khususnya di Taman Medan, dengan masalah demam denggi yang dikatakan membimbangkan, isu kebersihan sekeliling terutama di medan selera umpama tidak menggambarkan status Petaling Jaya itu. Mengapa semua ini berlaku? Apa perancangan YB?
Perancangan khusus untuk kawasan Taman Medan yang berkepadatan tinggi amat diperlukan. Walaupun berkepadatan tinggi, ia tidak semestinya berintensiti tinggi.
Taman Medan boleh dijadikan lebih mesra rakyat dengan memperbaiki kemudahan awam yang sedia ada, mewujudkan lorong pejalan kaki yang boleh mengurangkan kepenggunaan kereta, menanam lebih banyak pokok dan tumbuhan serta menambah baik tempat rekreasi seperti di tebing sungai, Dataran Anak Muda dan lain-lain.
Tanah Persekutuan yang sedia ada, sekiranya boleh, dibangun kan sebagai tempat hijau untuk memberikan corak kehijauan dan keselesaan kepada penduduk.
Kawasan di sekitar pusat bandar juga berdepan dengan isu kekurangan parkir sehinggakan ada yang terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya dan disaman. Sepatutnya dibina parkir bertingkat awam dengan kadar parkir yang berpatutan.
Prasarana awam wajar diuruskan dengan lebih baik. Kereta yang tersadai harus ditarik keluar sekiranya tidak diendahkan oleh pemilik dalam tempoh 30 hari.
Ketika ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang mewujudkan kawasan tempat letak kenderaan di bawah tanah rangkaian kabel bervoltan tinggi.
Jangka masa panjang tetap mengehadkan pemilikan kereta untuk setiap isi rumah dan menggalakkan pengangkutan awam melalui cara yang adil.
Tiada penyelesaian yang dapat dicapai di dunia ini sekiranya setiap rumah memiliki empat ke lima buah kereta.
Di peringkat nasional, terutama di Dewan Rakyat, apa isu-isu yang YB ketengahkan bagi memastikan kelancaran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Dasar pemerkasaan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), pengangkutan awam, kemiskinan bandar serta latihan teknikal dan sains untuk anak muda.
Bagaimana pula pandangan YB terhadap Belanjawan 2025 dan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN? Apa peranan penting yang perlu Malaysia selesaikan atau utamakan melalui ASEAN?
Penting dan amat strategik dalam waktu sekarang. Sasaran adalah untuk menyelesaikan konflik di Myanmar, mencapai persetujuan untuk ASEAN Power Grid dan merapatkan lagi kesahabatan ASEAN.
Selaku Pengarah Komunikasi PKR, bagaimana kedudukan PKR ketika ini? Menjelang PRU16, apa persiapan dilakukan khususnya bagi menarik sokongan anak muda? Sasaran PKR pada PRU16?
Menggunakan alat-alat baru seperti TikTok dan bekerjasama dengan anggota dan akar umbi parti dalam projek penyiaran maklumat. Nampak anak muda makin tertarik dengan MADANI sekarang. – WILAYAHKU