PINDAAN terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa Selasa lalu mampu menyediakan persekitaran yang lebih selamat di media sosial serta rangkaian digital, kata Pensyarah Kanan di Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat.
Ujarnya, pindaan tersebut amat penting terutamanya dalam perkara yang melibatkan pembulian siber dan keselamatan kanak-kanak.
“Ia telah pun diluluskan dan dikuatkuasakan dengan objektif yang baik, iaitu menyediakan ekosistem internet yang lebih selamat dan mampan.
“Namun dengan pindaan Seksyen 211 dan 211(C) yang menetapkan penalti lebih berat bagi pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) jika gagal mengawal kandungan berbahaya, ia dijangka memberi impak besar kepada pengguna internet dan syarikat teknologi.
“Ini pastinya kerumitan dalam memilih jalan tengah antara kesejahteraan rakyat dan kebebasan bersuara dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Wiraputra berkata dari segi keselamatan di alam siber, pindaan itu dilihat sebagai langkah positif.
Beliau berkata ini kerana ia dapat mengurangkan jenayah siber dan perlakuan tidak bermoral dalam talian.
“Statistik menunjukkan lebih 35,000 kes jenayah dalam talian dengan nilai kerugian RM1.5 bilion pada tahun lepas di dalam negara, sekaligus membuktikan keperluan mendesak untuk kawalan yang lebih ketat.
“Hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM500,000 bagi kesalahan terhadap kanak-kanak menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi golongan rentan dalam dunia digital,” katanya.
Menurut Wiraputra, sudah tiba masanya platform digital dan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan seperti media sosial lebih bertanggungjawab dalam mengawal kandungan mereka.
Katanya, bayangkan sehingga kini, iklan-iklan scam, link ke atas fail APK yang memudaratkan, kandungan fitnah, penghinaan terhadap agama, kandungan lucah, sumbang dan sebagainya yang negatif masih berleluasa di ruang digital kita.
“Lebih membimbangkan apabila ianya turut boleh diakses oleh kanak-kanak yang naif dan mudah terdedah kepada eksploitasi digital.
“90 peratus kanak-kanak berumur lebih lapan tahun terdedah kepada pelbagai kandungan internet, sama ada untuk pembelajaran, permainan, hiburan mahupun lain-lain yang mungkin kurang disenangi,” katanya.
Jelasnya lagi, laporan “Mengapa Kanak-kanak Tidak Selamat di Ruang Siber” daripada Forum Keselamatan Siber Global mendapati bahawa 72 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berhadapan dengan sekurang-kurangnya satu jenis ancaman siber dalam talian.
Katanya, pindaan Akta Keselamatan Siber 2024 termasuk perlesenan penyedia kandungan dan media sosial adalah penting untuk melindungi masa depan digital Malaysia sekaligus menyumbang kepada persekitaran siber yang lebih selamat dan berdaya tahan, terutama kepada kanak-kanak dan remaja.
Katanya, penalti yang lebih tinggi iaitu denda meningkat dari RM50,000 ke RM1 juta memaksa penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dalam membanteras kandungan berbahaya ini.
“Sebagai tambahan kepada moderator kandungan sedia ada, perkembangan ini pastinya akan menggalakkan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pemantauan kandungan secara automatik dan mempercepatkan pelaporan kandungan yang menyalahi undang-undang.
“Namun, dalam konteks kebebasan bersuara, pindaan ini berpotensi menjadi alat kawalan yang terlalu ketat jika digunakan secara tidak adil.
“Beberapa pihak berpendapat jika tidak dikawal dengan telus, ia boleh menyekat kritikan terhadap kerajaan dan perbincangan mengenai isu-isu sensitif di media sosial,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu menunjukkan keikhlasan mereka dengan mewujudkan atau membenarkan badan bebas untuk memantau dan memastikan pelaksanaan undang-undang ini tidak menjejaskan hak demokrasi rakyat.
Beliau berkata persepsi negara luar terutamanya pelabur-pelabur juga akan terkesan sekiranya mereka menyaksikan undang-undang dalam Negara yang terlalu ketat (rigid) sehingga menutup ruang untuk inovasi, eksplorasi dan kebebasan berkarya dan berekspresi.
“Penggantian istilah “kandungan jelik” kepada “kandungan yang sumbang dan lain-lain” juga berkemungkinan menimbulkan tanda tanya mengenai definisi sebenar kandungan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kerajaan perlu memberikan takrifan yang jelas akan maksud kandungan sumbang dengan melibatkan kepakaran dalam bidang bahasa, kajian forensik jenayah, undang-undang dan sosio ekonomi,” katanya.
Wiraputra berkata jika tidak, ia boleh membuka ruang kepada tafsiran subjektif yang boleh disalahgunakan.
Beliau berkata tambahan pula, kenaikan denda daripada RM50,000 kepada RM1 juta dalam Seksyen 211(c) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat teknologi dan penyedia perkhidmatan tempatan.
“Syarikat besar seperti Google, Meta (Facebook), dan TikTok mungkin boleh mematuhi peraturan ini, tetapi syarikat tempatan yang baru berkembang mungkin menghadapi kesukaran kerana peningkatan kawalan kandungan memerlukan kos operasi lebih tinggi untuk pekerja, teknologi, infrastruktur dan sebagainya.
“Ini boleh memberi kesan negatif terhadap inovasi digital di Malaysia. Cadangannya adalah kerajaan perlu mengambil langkah menang-menang dengan memberikan masa kepada syarikat tempatan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.
Sementara itu, Wiraputra berkata startup dan syarikat kecil perlu mendapat insentif atau tempoh peralihan bagi mematuhi peraturan baru, supaya mereka tidak terbeban dengan denda tinggi yang mungkin datang dari kandungan yang tidak disengajakan oleh mereka.
Katanya, secara keseluruhannya, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa kebaikan dalam meningkatkan keselamatan siber, tetapi memerlukan kejelasan dan pemantauan telus bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Dalam era digital yang semakin berkembang, keseimbangan antara keselamatan siber dan kebebasan bersuara perlu dikekalkan, agar internet di Malaysia kekal selamat tetapi tidak menjadi medan penapisan maklumat yang melampau.
“Rakyat juga seharusnya mengambil bahagian dalam perbincangan konstruktif yang bertamadun untuk menambahbaik pindaan akta ini, bukan sekadar membangkang secara melulu kerana kebaikan yang dibawa adalah lebih besar dari keburukan,” katanya. – WILAYAHKU