Berita

Pindaan akta hukum lebih berat penjenayah alam sekitar dibentang tahun depan – Tuan Ibrahim

- Diterbit 3 November 2020 7:36 AM MYT

CADANGAN pindaan peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap penjenayah alam sekitar kini dalam proses mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata pindaan akta itu dijangka dapat dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Antara pindaan yang dicadang ialah peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dalam proses meminda Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974, melibatkan hukuman dan penalti yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada, selain meningkatkan jumlah kompaun.

Selain itu, pindaan juga akan dibuat bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai polis untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah kedua-dua akta itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang meminta KASA menyatakan jumlah syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menyebabkan pencemaran sungai sehingga mengakibatkan kerja-kerja pembekalan air bersih kepada pengguna terganggu.

Menjawab mengenai tindakan yang diambil ke atas pencemar sungai, Tuan Ibrahim berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas, 61 premis telah dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM1.489 juta atas kesalahan berkaitan pencemaran air dan pengurusan buangan terjadual.

“Jumlah kutipan denda melalui tindakan kompaun adalah RM4.589 juta menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM6.079 juta.

“Bagi tempoh yang sama juga JAS telah menjalankan 17,445 pemeriksaan ke atas premis yang tertakluk AKAS 1974 di seluruh negara dan menerima 7,872 aduan berhubung pencemaran alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata dalam pindaan akta berkaitan pencemaran air sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, kerajaan menumpukan kepada peningkatan hukuman dan langkah alternatif meneruskan bekalan air terawat kepada pengguna sekiranya loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan akibat insiden pencemaran sungai.

“Apabila insiden pencemaran berlaku, kita dapati loji-loji air tak mempunyai sumber lain selain dari menunggu air bersih kembali, jadi kita akan laksana langkah alternatif dengan meningkatkan kapasiti loji supaya masih ada margin rizab selama tiga hari jika pencemaran berlaku, kedua kita akan bina TAPS (takungan air pinggiran sungai) untuk menampung air dalam masa dua minggu supaya jika punca air habis, rizab masih ada dan bekalan air kepada pengguna tidak terganggu,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata antara langkah bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air secara berterusan termasuk meningkatkan margin rizab air terawat sehingga 15 hingga 20 peratus, kapasiti dan kesediaan air terawat akan dipertingkatkan melalui kerja naik taraf LRA sedia ada dan pembinaan LRA baharu.

Beliau berkata bagi meminimumkan risiko gangguan air seperti di Lembah Klang baru-baru ini, KASA telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan projek TAPS dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebagai sumber air alternatif bagi meminimumkan gangguan bekalan air akibat insiden pencemaran air dan cuaca kering.

“TAPS ini juga akan berfungsi sebagai mekanisme kawalan banjir. Di bawah RMK11, empat projek TAPS telah diluluskan iaitu TAPS Jernih, TAPS Melaka, TAPS Sungai Johor dan TAPS Linggi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion.

“Manakala bagi Sungai Semenyih dan Sungai Selangor, KASA menyasarkan untuk membina dua TAPS yang mampu menampung sekiranya berlaku gangguan ataupun pencemaran kepada sungai itu iaitu TAPS Putrajaya dan TAPS Rasau sebagai sumber air alternatif,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas