Berita

Pindaan Akta 574 dibentang Oktober, kekang buli siber

SATU pasukan khas dibentuk sebelum pindaan undang-undang dibentangkan di Parlimen. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Julai 2024 9:30 AM MYT

PINDAAN Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi mengekang gejala buli siber dijangka akan dibentang di Parlimen pada Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan akan dibuat setelah hasil perbincangan bersama melibatkan empat kementerian iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) selesai.

Menurut Azalina, satu pasukan khas melibatkan empat kementerian turut dibentuk bagi memperhalusi perkara berkaitan buli siber sebelum pindaan undang-undang itu dibentangkan di Parlimen nanti.

“Kita tubuhkan satu pasukan khas membabitkan empat kementerian untuk memperhalusi pindaan Akta 574 supaya pindaan dapat dibuat pada sesi Parlimen Oktober ini.

“Pindaan ini juga untuk kita memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif, memandangkan buli siber tidak ada takrifan khas dalam undang-undang.

“Jadi kita perlu tentukan dahulu definisi mengenai buli siber sebelum pindaan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata satu seminar undang-undang keselamatan dalam talian membabitkan penglibatan negara-negara antarabangsa akan diadakan berkaitan jenayah tersebut.

“Kita akan wujudkan satu seminar antarabangsa undang-undang keselamatan dalam talian untuk kita belajar daripada negara-negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura berkaitan negara itu menangani jenayah buli siber.

“Ini kerana ada pertikaian antara elemen demokrasi, terutamanya berkaitan hak asasi dan kita nak tahu apa had kepada hak asasi dalam isu berkaitan buli siber kerana ada orang berkata dalam buli siber mereka tak sentuh secara fizikal hanya bercakap saja.

“Jadi sekarang ni aspek jenayah tu ialah ia bukan satu one-off lah. Dia buat scooping, doxing, intimidation. Lepas itu yang paling dahsyat tu dia buat, inflammating iaitu dia menggalakkan orang wujudkan kebencian.

“Kita tidah mahu kesannya kepada generasi muda, anak-anak kita yang tertekan dari segi emosi dan melakukan sesuatu yang tak elok pada diri mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan akan mengambil tindakan terhadap beberapa platform media sosial susulan beberapa aspek buli siber yang berlaku.

“Selepas ini, semua platform terbabit harus bertanggungjawab dan insya-Allah, kita akan mengambil satu tindakan yang sangat tegas dalam masa beberapa hari ini.

“Percayalah, hasrat kerajaan bukan saja menjamin harga Internet lebih murah, mudah diperoleh mahupun lebih pantas tetapi juga lebih selamat untuk kita manfaatkan,”  katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas