Sukan

Pickleball: Raih sambutan positif anak muda

SUKAN pickleball semakin diminati warga Putrajaya.
- Diterbit 7 Mei 2025 2:05 PM MYT

BAGI memperkenalkan sukan baharu yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat, Persatuan Pickleball Wilayah Persekutuan Putrajaya (PPWPP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) menganjurkan klinik pengenalan sukan itu baru-baru ini.

Diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1), program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal tentang asas permainan pickleball khususnya kepada pelajar di sekitar Putrajaya.

Presiden Persatuan Pickleball Wilayah Persekutuan Putrajaya, Amir Farid Abdul Majid berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan sukan baharu kepada komuniti, sejajar dengan usaha kerajaan mempromosi gaya hidup sihat dan pengukuhan hubungan sosial.

“Lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar dan guru hadir dan diberi tunjuk ajar oleh jurulatih bertauliah yang berkongsi teknik asas seperti cara memegang paddle, servis, pergerakan kaki dan strategi permainan.

AMIR FARID

“Program tersebut merangkumi sesi penerangan asas permainan, teknik asas serta perlawanan persahabatan. Ramai yang masih belum kenal apa itu pickleball. Bila mereka cuba, mereka terus jatuh cinta dengan sukan ini kerana ia seronok, santai dan tidak terlalu membebankan.

“Kami lihat pickleball mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai sukan komuniti kerana ia mudah dimainkan, menyeronokkan dan sesuai untuk semua golongan,” katanya.

Beliau berkata objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran awal serta menarik minat pelajar dan masyarakat untuk menjadikan pickleball sebagai pilihan aktiviti riadah seisi keluarga.

“Pickleball bukan sekadar sukan baharu, tetapi sebuah platform perpaduan pelbagai lapisan masyarakat.

“Pickleball mudah dipelajari, tidak membebankan fizikal dan sesuai untuk semua peringkat umur. Ia berpotensi besar untuk dijadikan sebagai aktiviti riadah komuniti dan sukan kompetitif pada peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya program ini bukan sahaja bermanfaat dari segi kesihatan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Selain itu, Amir menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama ini di masa akan datang dan sedang merancang mewujudkan Kelab Komuniti Pickleball di kawasan sekitar Putrajaya.

“Dalam masa sama, kita akan memberikan fokus untuk membina program pembangunan atlet junior di Putrajaya dan berharap mereka terpilih untuk menyertai Asian Pickleball Championship yang akan diadakan pada Julai depan di Da Nang, Vietnam.

“Saya berharap program seperti ini dapat menjadi batu loncatan untuk mengembangkan sukan pickleball ke peringkat lebih tinggi termasuk penyertaan dalam kejohanan negeri, kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti.

“Dengan semangat dan komitmen pelbagai pihak, tidak mustahil suatu hari nanti, Malaysia mampu melahirkan atlet pickleball bertaraf antarabangsa dan menjadikan negara ini sebagai hab utama pickleball di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa sukan ini mampu dimasukkan secara rasmi ke dalam kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus membuka ruang kepada pencarian bakat baharu dari peringkat akar umbi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas