EDISI pertama Kejohanan Pickleball Terbuka Putrajaya 2025 melabuhkan tirainya dengan sambutan menggalakkan menerusi penyertaan seramai 144 orang peserta.
Dianjurkan Persatuan Pickleball Putrajaya (PUPA), kejohanan kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Dewan Pusat Kejiranan Presint 11 pada 14 dan 15 Jun lalu itu mempertandingkan empat kategori utama iaitu beregu lelaki terbuka, beregu perempuan terbuka, beregu campuran terbuka dan beregu campuran masters 45 tahun ke atas.
Bukan sekadar medan pertandingan, program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti Klinik Pengenalan Pickleball, Sesi Percubaan serta Kelas Junior Sang Putra yang menyasarkan pemain cilik, dalam usaha memasyarakatkan sukan raket yang semakin mendapat tempat di peringkat global.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abd Karim, penganjuran ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pengembangan sukan Pickleball di Putrajaya.
“Pickleball adalah sukan yang menarik. Klinik Pengenalan yang dianjurkan amat baik untuk memperluaskan penglibatan komuniti. MPP Putrajaya terbuka untuk bekerjasama memperluaskan sukan ini ke presint-presint lain,” katanya.
Sementara itu, Penaung PUPA, Datuk Seri Hasim Ismail menyifatkan sudah tiba masanya Putrajaya memiliki fasiliti khas untuk sukan tersebut.
“Jika sukan ini wujud pada zaman saya, pasti saya sudah lama bermain. Walaupun fasiliti khas belum tersedia, saya yakin dengan usaha bersama dan sokongan tajaan, gelanggang tetap boleh dibangunkan di Putrajaya,” katanya.
Turut senada, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh menyatakan komitmen pihaknya untuk menyokong perkembangan sukan tersebut yang berpotensi untuk dipertandingkan dalam temasya SUKMA akan datang.
Pegawai Belia dan Sukan Putrajaya, Nik Mohd Fitra Wan Jaafar pula berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa membuka ruang sokongan kepada NGO sukan menerusi dana komuniti dan geran padanan.
“Program seperti ini selaras dengan hasrat memperkasakan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Presiden PUPA, Amir Farid Abdul Majid menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak menjayakan kejohanan sulung ini.
“Walaupun kita masih belum mempunyai gelanggang khas, sambutan ini membuktikan potensi besar Pickleball di Putrajaya. Kami berharap edisi akan datang dapat dianjurkan di gelanggang khusus yang lebih kondusif,” katanya.
Kejohanan ini turut mendapat sokongan penaja antaranya KBS, Felet International Holdings Sdn Bhd, Stella Kasih Medical Centre, Nestle (M) Berhad, The Vida World Sdn Bhd (Vida Water Malaysia), Media KeyGroup Sdn Bhd dan Ombak Exclusive.
Penganjuran edisi sulung ini bukan sahaja menjadi pencetus kepada pembangunan sukan Pickleball di Putrajaya, malah membuka ruang kepada perancangan fasiliti kekal serta program pembangunan sukan komuniti yang inklusif dan berimpak tinggi. -WILAYAHKU