PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV
VAKSINASI harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua. Gambar - JKAJV

PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV

 MALAYSIA berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran ditetapkan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila 50.2 peratus atau 11,743,096 populasi dewasa negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya hari ini memaklumkan sebanyak 75.3 peratus atau 17,625,760 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 menerusi PICK setakat semalam sebanyak 29,368,856 dos.

“Hari ini, lebih 50 peratus daripada populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi. Kita di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk PICK. Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat. Usaha gigih selama ini perlu diteruskan,” menurut hantaran itu.

Menurut JKJAV, 54 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 36 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam berbanding 525,111 dos pada Selasa, dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua. – BERNAMA

CATEGORIES