Berita

Piala Belia Kebangsaan 2025 kenal pasti skuad pelapis

PEMBANGUNAN ini penting berikutan sukan sepak takraw semakin mendapat perhatian masyarakat.
- Diterbit 16 Disember 2024 5:46 PM MYT

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal menganjurkan Piala Belia Kebangsaan 2025 dalam usaha merancakkan pembangunan sepak takraw negara di peringkat akar umbi.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penganjuran kategori seperti bawah 20 tahun antara usaha berterusan pihaknya mengenal pasti bakat pemain untuk membarisi skuad pelapis negara pada masa hadapan.

“Usaha terbabit juga susulan sambutan hangat sukan berkenaan di seluruh negara termasuk ramai yang bermain di kawasan kampung-kampung padang permainan dan flat perumahan sekali gus menyemarakkan kembali permainan tradisi terbabit.

“Elemen berkenaan mendorong PSM untuk menganjurkan kejohanan akar umbi lelaki selain dalam masa sama merancang saingan bagi kategori wanita.

“Maklum balas positif yang diterima PSM dalam kategori regu wanita buat pertama kali dalam Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali yang berakhir pada Ahad amat memberangsangkan.

“Justeru, perancangan untuk menganjurkan pertandingan bagi kategori wanita sama ada dalam acara regu atau kuadran antara usaha positif selepas melihat sambutan luar biasa peminat dan pemain di Piala Tun Ali,” ujarnya.

Beliau berkata, Piala Tun Ali juga pentas PSM mengorak langkah untuk mencari bakat pemain wanita bagi diketengahkan di peringkat antarabangsa, dalam masa sama mengadakan kejohanan dalam kategori berkenaan pada tahun hadapan.

Jelasnya, sudah lama tiada kejohanan wanita yang dianjurkan justeru di Melaka terbabit membolehkan pemain bersaing dengan kompetitif sesama sendiri serta barisan import yang beraksi bersama pasukan bertanding.

Sementara itu, pihaknya sudah menyenaraikan 14 nama pemain sepak takraw kebangsaan dan akan melengkapkannya menerusi pemilihan pemain berdasarkan prestasi sebaik berakhirnya Piala Tun Ali.

Sumali berkata pihaknya akan menghantar senarai penuh nama pemain kebangsaan dalam Projek MSN (Majlis Sukan Negara) akhir bulan ini, sebagai persediaan awal bagi menghadapi kejohanan utama dalam kalendar tahun depan.

“Dalam mesyuarat bersama Ketua Pengarah MSN baru-baru ini PSM sudah menghantar 14 nama yang dikenal pasti menerusi posisi masing-masing, dengan hanya berbaki empat pemain sahaja lagi.

“Bagaimanapun, PSM memohon tambahan sehingga tujuh pemain dengan sekurang-kurangnya 21 pemain dalam projek terbabit,” ujarnya.

Justeru, barisan kejurulatihan yang diketuai Ahmad Jais Baharun akan meneliti daripada pelbagai aspek seperti konsisten prestasi pemain, keupayaan posisi masing-masing dalam acara regu atau double untuk melengkapkan senarai terbabit.

Sumali berkata, skuad Projek MSN terbabit bagi menghadapi kejohanan utama tahun depan seperti Piala Asia yang dijadualkan pada Mei, Piala Raja Thai (Julai atau Ogos) dan Sukan Sea 2025 Thailand pada Disember. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas