Berita

PFPP2023 tawar wang tunai sehingga RM23,000

- Diterbit 19 Oktober 2023 8:20 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE

SABAN tahun pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PFPP) 2023 yang merupakan salah satu inisiatif dalam mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang patut diterokai melalui medium fotografi.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, PFPP2023 telah bermula pada 28 Ogos dan akan berakhir pada 31 Oktober 2023.

“Pertandingan pada kali ini mengetengahkan dua tema iaitu Indahnya Putrajaya dan City With Soul.

“Tema Indahnya Putrajaya digunakan bagi menggambarkan keindahan Putrajaya dari sudut lensa fotografi dan kreativiti jurugambar serta keindahan Bandar Dalam Taman ini yang mampu memukau dan menggamit kehadiran para pengunjung termasuk pelancongan dari dalam dan luar negara.

“Tema City With Soul pula adalah imej foto yang menunjukkan kehidupan insan, warga serta pengunjung Putrajaya dalam kehidupan harian sama ada di kawasan kediaman, kawasan komersial selain melibatkan pelbagai rutin kehidupan warga Putrajaya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Selain itu, beliau berkata melalui PFPP2023, keindahan alam semula jadi, reka bentuk seni bina yang unik dan keistimewaan tempat-tempat menarik serta kawasan tarikan utama di Putrajaya secara tidak langsung dapat dirakamkan melalui hasil seni fotografi peserta yang bertanding.

“Juara pertandingan bagi setiap tema akan membawa pulang wang tunai bernilai RM4,000 manakala bagi naib juara RM3,000, tempat ketiga RM2,000 dan lima pemenang sagu hati pula membawa pulang RM500 seorang. Jumlah hadiah keseluruhan adalah sebanyak RM23,000.

“Pihak PPj berharap agar pertandingan ini akan mendapat sambutan yang lebih meriah dengan gambar yang bakal dipersembahkan dengan pelbagai keunikan serta kreatif daripada sudut pelancongan Putrajaya,” tambah beliau.
Sebagai rekod, pada tahun lalu PPj menerima sejumlah 1,118 penyertaan bagi PFPP2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas