PFM mohon kebenaran laksana aktiviti penggambaran luar studio

PFM mohon kebenaran laksana aktiviti penggambaran luar studio

PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu agar kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran luar studio dengan kadar segera selain kebenaran untuk pawagam beroperasi semula.

Presiden PFM Pansha berkata penggambaran luar studio meibatkan kelangsungan hidup syarikat penerbitan filem dan televisyen yang mengalami kerugian besar untuk menyiapkan produksi tertangguh selain perlu menanggung kos bulanan operasi semakin meningkat.

“Lebih 50,000 penggiat seni tiada pekerjaan dan tidak dapat bayaran oleh kerana kebanyakan penggambaran produksi tempatan melibatkan lokasi di luar studio yang tertangguh atau tidak dapat disempurnakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pawagam, katanya PFM merayu agar pawagam juga dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk bagi setiap dewan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) diluluskan sebelum ini

“Lebih 50 filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penerbit filem mengalami kerugian besar dalam pelaburan tanpa bantuan daripada kerajaan.

“Sebagai persatuan yang mewakili syarikat produksi filem dan televisyen tempatan, kami merayu agar pertimbangan sewajarnya dapat diberi seperti industri lain yang telah mendapat kebenaran untuk melaksanakan aktiviti perniagaan bersesuaian dan perlu mematuhi SOP seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sementara itu, Pansha berkata PFM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi kebenaran untuk melaksanakan aktiviti penggambaran dalam studio sewaktu pelaksanaan PKP 2.0. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS