KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong penuh Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama untuk merealisasikan
ASEAN Economic Community Strategic Plan, dengan memperluas skop
kerangka kerjasama serantau dalam bidang tenaga.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PETRA komited untuk memperkukuh kerjasama serantau melalui pemuktamadan pelan tindakan dan kerangka strategik yang merupakan Priority Economic Deliverables (PED) bagi menyokong peralihan tenaga yang adil dan
berstruktur.
“Ia merangkumi ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2026-
2030 yang bertindak sebagai kerangka utama yang
menggariskan hala tuju jangka panjang dan inisiatif strategik ke
arah sistem bekalan tenaga serantau yang berdaya harap,
inklusif dan mapan menjelang 2045.
“Selain itu, Memorandum Kerjasama ASEAN Power Grid (APG) yang akan
meletakkan asas kepada pelaksanaan integrasi grid dan
sambung tara di antara negara anggota ASEAN yang bakal
mempercepatkan integrasi sistem grid serantau bagi
memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan, dan
menyokong penjanaan dan penggunaan tenaga boleh baharu
secara lebih meluas,” ujar beliau dalam kenyataan.
Tambahnya, Trans ASEAN Gas Pipeline Agreement (TAGP) dan ASEAN
Petroleum Security Agreement (APSA) pula akan menyediakan
kerangka pembekalan bahan api (gas asli dan petroleum) untuk
menyokong peralihan progresif kepada sistem tenaga rendah
karbon termasuk untuk penjanaan elektrik bagi memastikan
keterjaminan bekalan tenaga.
“Melalui inisiatif dan program ini, PETRA memberi komitmen akan
menyokong ketetapan di bawah Deklarasi ASEAN 2045 termasuk usaha
peralihan tenaga sebagai landasan strategik ke arah pembentukan
Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih mampan, inklusif dan berdaya
tahan.
“Komitmen ini selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang
menekankan kemampanan, kesejahteraan dan inovasi dalam
pembangunan negara, serta memperkukuh kerjasama serantau demi
manfaat bersama seluruh komuniti ASEAN,” ujar beliau. – WILAYAHKU