PESTA Ponggal 2025 peringkat Bandar Tun Razak berlangsung dengan penuh meriah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak dengan menyaksikan penyertaan yang luar biasa daripada masyarakat India di kawasan tersebut.
Acara yang julung kali dianjurkan pada skala besar menonjolkan budaya dan tradisi masyarakat India sambil memupuk perpaduan komuniti pelbagai kaum di Bandar Tun Razak.
Ketua Biro Masyarakat India Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata pesta Ponggal itu bukan sekadar sambutan budaya tetapi juga simbol kesyukuran dan semangat kebersamaan.
Katanya, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat membuktikan bahawa Bandar Tun Razak ialah sebuah komuniti yang harmoni dan menghargai kepelbagaian.
“Kami berharap program seperti ini dapat terus diadakan untuk memperkukuhkan perpaduan serta menghormati tradisi setiap komuniti,” katanya.
Terdahulu, program tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George, dan Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan.
Jonathan turut merakamkan penghargaan kepada Wan Azizah dan Azman atas sokongan padu mereka terhadap komuniti India di kawasan tersebut.
Beliau berkata program itu menjadi bukti komitmen pihak berwajib dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat dipelihara.
“Dengan kehadiran ramai pemimpin serta sokongan padu daripada komuniti, Pesta Ponggal 2025 ini telah mencipta satu sejarah baharu bagi Bandar Tun Razak.
“Semua pihak berharap agar perayaan ini menjadi acara tahunan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya. – WILAYAHKU