Berita

Pesta Menuai Ponggal bukan sekadar perayaan agama

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 13 Januari 2024 1:20 PM MYT

ISNIN ini, masyarakat Tamil di Malaysia akan meraikan perayaan pesta menuai Ponggal.

Tradisi yang dihargai, perayaan ini melibatkan penyediaan juadah nasi manis atau Pongal yang dimasak dalam belanga tanah liat tradisional, melambangkan rasa syukur kepada Dewa Matahari (Surya Bhagavan) untuk hasil tuaian yang banyak.

Bukan sekadar perayaan agama, Ponggal merangkumi perayaan yang menggembirakan kehidupan petani, bidang pertanian dan mempunyai maksud yang mendalam dan lebih meluas.

Presiden Hindhudharma Maamandram Malaysia A. Radhakrishnan berkata Ponggal merupakan antara perayaan paling penting yang disambut oleh masyarakat Tamil di seluruh dunia.

“Perayaan ini yang berlangsung selama empat hari bermula dengan sambutan Bhogi iaitu sehari yang dikhususkan untuk introspeksi, dengan melambangkan pembakaran barangan rumah lama dan tidak digunakan. Ritual ini berfungsi sebagai metafora untuk menghapuskan sikap negatif, menandakan permulaan kitaran baharu,” katanya kepada Bernama.

Hari utama perayaan ini ialah Thai Ponggal pada hari Isnin (15 Jan) khusus untuk Dewa Matahari. Setiap keluarga akan bangun awal untuk menyediakan hidangan istimewa Pongal. Apabila nasi mendidih dan melimpah dari belanga, sorakan Ponggalo Pongal akan berkumandang, melambangkan kelimpahan dan kemakmuran.

Radhakrishnan menjelaskan perayaan berikutnya pada hari ketiga, Mattu Pongal untuk perayaan lembu yang dipercayai menyumbang kepada kejayaan menuai. Hari keempat, Kanni Pongal menyaksikan wanita yang belum berkahwin membuat Pongal, berdoa untuk mendapat suami yang baik.

Diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thai, Ponggal secara unik mengikuti kalendar suria, pergerakan matahari ke arah utara selama enam bulan.

Peribahasa Tamil yang popular, Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum, bermaksud kedatangan bulan Thai membawa peluang baharu, bergema dalam tempoh ini.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia Ganesan Thangavellu berkongsi masa yang sesuai untuk penyediaan nasi manis pada tahun ini, dengan menyatakan waktu pagi adalah paling digalakkan untuk menyediakan juadah itu.

Beliau berkata masa yang sesuai untuk menyediakan nasi manis pada tahun ini adalah antara 7 pagi hingga 8.30 pagi, 10.25 pagi hingga 11.52 pagi dan 2.30 petang hingga 4 petang.

Perayaan itu turut diraikan di seluruh negara termasuk sambutan Ponggal peringkat kebangsaan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Festival Ponggal MIC di Kuala Lumpur pada 15 Jan, akan mempamerkan kekayaan budaya dan perpaduan masyarakat Tamil Malaysia.

Di Tamil Nadu, India, Ponggal mencerminkan warisan pertanian dan identiti budaya negeri, menekankan hubungan yang mendalam antara orang Tamil dan tanah yang mereka usahakan.

Sementara itu, Wakil Badan Peguam negeri Selangor dalam Majlis Peguam, Kokila Vaani Vadiveloo dalam perkongsian mesej sempena sambutan pesta menuai itu mengharapkan agar kedatangan Ponggal dapat mengisi kehidupan dengan kegembiraan, kemanisan dan kesihatan yang baik.

Beliau menyeru semua pihak untuk berkongsi kebahagiaan dengan insan tersayang, menekankan kebaikan dan kemurahan hati terhadap golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya di Malaysia.

“Semasa sambutan perayaan Ponggal, semoga pesona tradisi dan kemanisan nasi melekit, membawa kebahagiaan kepada semua,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas