Berita

Pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal meninggal dunia ketika bertanding

- Diterbit 3 Mac 2024 1:40 PM MYT

PESILAT Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di sini awal pagi tadi, selepas didapati tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA), petang semalam.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata atlet berusia 20 tahun itu, jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

“Dia sedang beraksi dalam pertandingan, ketika itu atlet ini sedang melakukan sapuan bawah kemudian kepalanya terhentak ke lantai. Dia bangun semula tetapi rebah.

“Ketika di atas gelanggang itu, dia didapati tidak bernafas, pihak kami dan pegawai perubatan cuba memberikan bantuan penafasan sehingga ambulans datang untuk dihantar ke hospital. Saya dikhabarkan dia bernafas semula dan mendapat bantuan oksigen di hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bibi Aishah berkata hospital memaklumkan Wan Muhammad Haikal meninggal dunia pada 1.20 pagi tadi dan jenazah dibawa pulang ke Kampung Alur Selising, Jertih, Terengganu pagi ini.

Beliau berkata pertandingan prapemilihan SUKMA bagi pencak silat itu, melibatkan atlet bagi 12 negeri bermula pada Jumaat hingga hari ini.

“Berikutan kejadian ini, kami membatalkan semua kejohanan berlangsung bagi separuh akhir dan final hari ini, bagi menghormati pemergian Allahyarham,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas