Berita

Pesawat terhempas: JKM atur gerak pegawai beri sokongan psikologi kepada keluarga mangsa

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 Februari 2024 12:20 PM MYT

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) akan atur gerak pegawai bagi menyantuni dan memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar, Klang semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pegawai JKM telah bertindak segera untuk memberikan perkhidmatan sebaik sahaja mengetahui mengenai insiden berkenaan.

“Kebiasaannya (santuni waris) itu kita lakukan. Saya amat berterima kasih dengan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terutama JKM yang sentiasa menyantuni mangsa (dan waris) serta cepat bertindak.

“Sama-sama kita hargai perkhidmatan diberikan. Terima kasih kepada JKM,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat media sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di KPWKM di sini hari ini,

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata proses bedah siasat mangsa nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel dijangka selesai hari ini.

Mengikut manifest (senarai penumpang dan anak kapal) yang didaftarkan, mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 tengah hari semalam.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas